12:28

Renungan buat sang pencinta...

Jika kamu memancing ikan, setelah ikan itu terlekat di mata kail hendaklah kamu mengambil terus ikan itu. Janganlah sesekali kamu lepaskan ia semula ke dalam air begitu sahaja kerana ia akan sakit oleh kerana bisanya ketajaman mata kailmu dan mungkin ia akan menderita selagi ia masih hidup…

Begitulah juga setelah kamu memberi banyak pengharapan kepada seseorang. Setelah ia mula menyayangimu hendaklah kamu menjaga hatinya. Janganlah sesekali kamu terus meninggalkannya begitu sahaja kerana dia akan terluka oleh kenangan bersamamu dan mungkin tidak dapat melupakan segalanya selagi dia mengingatimu…
Dan janganlah kamu meninggalkannya semata-mata sedikit kesalahannya sedangkan sudah beribu-ribu kasih dicurahkannya tanpa mengenal erti beza benci dan sayangmu. Sesungguhnya cinta itu tidak menambah dan tidak berkurang disebabkan oleh baik dan buruknya pasanganmu. Ma Sya Allah.

Jika kamu menadah air biarlah berpada. Jangan terlalu mengharap pada takungannya dan janganlah menganggap ia begitu teguh. Cukuplah sekadar memenuhi keperluanmu. Kerana apabila sekali ia retak, tentu sukar untuk kamu menampalnya semula. Akhirnya ia dibuang sedangkan jika kamu cuba membaikinya, mungkin ia masih boleh digunakan lagi… ingatlah sesungguhnya takar itu pernah berbakti kepadamu, menampung air minuman dan mandianmu agar engkau tidak haus dan berbau wangi malah sebagai kolah air wudhukmu.

Begitu juga jika kamu memiliki seseorang terimalah seadanya. Janganlah kamu terlalu mengaguminya dan janganlah kamu menganggapnya begitu istimewa. Anggaplah dia manusia biasa. Apabila sekali dia melakukan kesilapan, bukan mudah bagi kamu untuk menerimanya. Akhirnya kamu kecewa dan meninggalkannya. Sedangkan jika kamu memaafkannya, boleh jadi hubungan kamu akan berterusan hingga ke akhirnya… dan janganlah engkau menjadi manusia yang mendahului Tuhanmu dalam memutuskan silaturahimmu… sesungguhnya syaitan amat senang dengan pendosa-pendosa yang suka melakukan kesalahan yang sama pada peristiwa yang sama.


Jika kamu telah memiliki sepinggan nasi yang kamu pasti baik untuk dirimu. Mengenyangkan. Berkhasiat. Mengapa kamu berlengah dan cuba mencari makanan yang lain. Terlalu ingin mengejar kelazatan. Kelak, nasi itu akan basi dan kamu tidak boleh memakannya lagi. Kamu akan menyesal…kerana meninggalkan nasi yang baik semata-mata mengharap agar makanan yang lain lebih baik sedangkan itu hanya tipu daya nafsumu.


Begitu juga jika kamu telah bertemu dengan seorang insan yang kamu pasti membawa kebaikan kepada dirimu. Menyayangimu. Mengasihimu. Mengapa kamu berlengah dan cuba membandingkannya dengan yang lain? Terlalu mengejar kesempurnaan. Kelak, kamu akan kehilangannya. Kamu juga yang akan menyesal… sesungguhnya menyayangi untuk kesempurnaan dan saling memperlengkapi adalah cinta yang Allah redha daripada menyayangi untuk kepentingan dan menjamin keselesaan diri. 

kesimpulannya:

Katakanlah (Muhammad), “Milik siapakah apa yang di langit dan di bumi?” Katakanlah,”Milik Allah.” Dia telah menetapkan (sifat) kasih sayang pada diriNya*, Dia sungguh akan mengumpulkan kamu pada hari Kiamat yang tidak diragu-ragukan lagi. Orang-orang yang merugikan dirinya, mereka itu tidak beriman.
Dan milikNyalah segala apa yang ada pada malam dan siang hari. Dan Dialah Yang Maha Mendengar, Maha Mengetahui.


Katakanlah (Muhammad), “Apakah aku akan menjadikan pelindung selain Allah yang menjadikan langit dan bumi, padahal Dia tidak memberi makan dan tidak memberi makan?” Katakanlah, Sesungguhnya aku diperintahkan agar aku menjadi orang yang pertama berserah diri(kepada Allah), dan jangan sekali-kali kamu masuk golongan orang-orang musyrik.”



0 comments: