10:43

Rasuah Ramadhan

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih dan Penyayang... mohon keampunan Mu ya Rabb sebelum kalam ni terus bertingkah meluahkan aql binasa yang tak selaku dengan pemikiran orang biasa. Marhaban ya Ramadhan...nyanyian opick mengalun di corong radio dalam kereta.  Hari ini sekali lagi aku memberi alasan untuk tidak menjadi imam. Rosak pula pahala orang yang menjadi makmum. Subahanallah. Ramadhan tahun ini agak unik sedikit bagi aku, seolah-olah ini puasa pertama ku berpuasa sebagai muslim, sedangkan hampir setengah dekad umurku dalam Islam. Pelik kan... Hanya Allah SWT sahaja yang Maha Mengetahui dan terima kasih sahabat yang mahu berkongsi rahsia ramadhan. Hari ini genap 13 hari umat islam berpuasa melaksanakan tanggungjawab sebagai muslim. Baris saf-saf di masjid juga semakin susut bilangan makmumnya. ke mana menghilangnya makmum yang mabrur dan selalu mengimarahkan masjid di bulan ramadhan. Biasanya saf menjangkau 4-5 baris, hari ini hanya tinggal dua saf sahaja. Balik kampung fikirku berpransangka baik terhadap makmum yang biasa bertegur sapa dengan ku. Mudah-mudahan hari bekerja nanti, akan penuhlah semula saf-saf ni seperti sediakala. 
Petang tadi sewaktu ke bazar ramadhan, terpampang banner majlis berbuka puasa di rumah anak-anak yatim, Wah, siap pasang banner lagi pengumuman majlis berbuka puasanya. Semalam, sepupu dari Brunei mengajak berbuka di hotel. Hebat, harganya sahaja RM80 sekepala, mesti hebat juadah hidangan kapitalis fikirku.  Pandai juga kapitalis-kapitalis ni membuka ruang mengajak orang islam membuat pahala kan. Maklumlah orang islam ni  kalau bulan puasa, kuasa memberi mereka ni tinggi. Setahun sekali lah katakan. Jalan ke bandar juga semakin sesak di hujung minggu ini. Kebiasaannya hanya mengambil 10 minit, petang tadi hampir setengah jam di dalam kereta. Nasib baik hingar bingar anak-anak dalam kereta yang sibuk merancang juadah berbuka mereka menjadi lagu di telinga. 
Aku ingat bila ramadhan menjelma, semua orang akan insaf tapi sana sini aku masih melihat suasana orang-orang kita sibuk melakukan rasuah. Kononnya membuat pahala melalui pelbagai aktiviti keagamaan dan semua orang berlumba-lumba mengharapkan pahala ramadhan, maklumlah setahun sekali, dan lagi pahalanya berlipat kali ganda banyaknya dari bulan-bulan biasa. Untung anak-anak yatim dan ibu-ibu tunggal dan orang miskin di bulan ramadhan ni kata orang rumah. mereka tidak kelaparan, semua orang bersedekah kepada mereka. Ia kataku, sebulan sahaja untungnya, 11 bulan lagi mereka sentiasa berlapar dan mengharapkan simpati tapi jarang terpeduli. Biasalah, memang sikap bangsa kita, melakukan sesuatu dengan mengharapkan sesuatu, sepertimana lakunya orang merasuah mengharapkan projek keduniaan mereka. Dan dalam tidak sedar tindakan kita ni merasuah Allah. mana tidaknya, bila bulan ramadhan menjelma sibuk kita dengan aktiviti keagamaannya... bersunat tarawikh lah, tahajudlah, bertadaruslah, bersedekah lah dan macam-macam lagilah semuanya mengharapkan pahala berganda-ganda daripada Allah SWT, maklumlah 11 bulan lagi penuh dengan kemelut dosa dan jarang melakukan apa yang sepatutnya dilakukan, dan bulan ramadhan dianggap penyucian dosa barangkali. Astagafirullahalazim... Memang apa yang dilakukan itu bagus cuma nawaitu sahaja yang perlu jelas barangkali kan dan mohon jangan disalahertikan pencerahan ini... gunakan aql sekejap sebelum menghukum. Minta maaf lah, kita jangan ingat Allah itu bodoh. Sesungguhnya urusan dosa dan pahala ini, urusan Allah, bukan urusan makhluk. Janganlah kamu mengharapkan syurga dari amalmu. apakah bulan-bulan lain selain ramadhan, kita tidak digalakkan melakukan semua perkara yang disebutkan. Sebab pahala bulan ni ciput, rugi aku bersedekah... kasihan dengan golongan fakir miskin yang masih mengharapkan bantuan kita. Bulan ni pahala sedikit, so kurangkan tahajud dan tadarus ku. Walhal semua perkara yang mengagungkan keEsaan Allah ada ruang untuk kasih sayang dan sedekah Allah kepada kita.
Puasa mengikut syariat adalah menahan diri dan sebesar-besar cabaran pada bulan ramadhan ini adalah diri yang menahan. Menahan daripada apa sebenarnya... ini yang harus kita renungkan bersama... adakah selepas ramadhan ini, aku kembali seperti sediakala masih meneruskan tabiat dan tingkahlaku lama. Tidak selesai jua masalah kita sebagai hambanya yang terlalu banyak meminta dan berhutang kepada Allah SWT. Tidak selesai dengan masalah hutang kita kepadanya kita menciptakan hutang lagi kepadaNya... melakukan rasuah, rasuah kepada Allah SWT. Mari kita renungkan sesaat. Adakah kita merasa amal kita dibulan ramadhan ini diterima Allah SWT... jika diterima bagaimana manis dan lazat pemberianNya...adakah sepertimana nafsu menikmati manisnya ABC sewaktu berbuka puasa. jika tidak, apa lagi yang perlu aku lakukan... cuba tanyakan qalb dan aql... adakah jawapannya bersatu iaitu mengEsakan dan menTauhidkan Allah SWT. Dan jika kita hanya tahu merasuah sahaja semata-mata mengharapkan pahala, maksudnya amalan puasa itu hanya menjadi kosong. Apatah lagi, jika selepas puasa.. kita masih memiliki karakter yang sama seperti sebelum berpuasa. Sama saja bohongnya. Sepatutnya, puasa ini sebagai landasan untuk kita menginternalisasikan diri kita sebagai hambaNya sekaligus mengimplemantasikan dalam kehidupan seharian. barulah mantap keperibadian dan peradaban muslim.  dan yang paling penting hidupkan jiwa-jiwa yang mati mengarah kepada jiwa-jiwa yang tenang. Ya Allah... Tiada daya dan upaya ku ya Rabb... semuanya adalah milikMu.

0 comments: