01:09

tuntutan sabar dan syukur... tenang aja


Basmallah... Dengan Nama Mu yang Maha Agung ya Allah...

Jadikan jiwamu jiwa yang merdeka, bebas dari diperhambakan oleh makhluk selain Allah SWT. Wah, terlalu indah kata-kata syeikh Hasan Al-Bana terhadap jiwa-jiwa yang merdeka. Jiwa yang cukup kuat bersabar dan bersyukur bagi menggapai syumulnya sebuah kehidupan. Tapi kehidupan kita masih lagi dihimpit ketakutan saban hari, takut dengan segala risiko, ujian dan musibah. Walhal bagi orang-orang yang memahami bahawa musibah dan ujian itu adalah satu proses mematangkan diri dan lebih jauh lebih indah daripada itu bahawa semua ini adalah pemberian Allah untuk mendekatkan diri kita kepada Allah SWT. Siapa yang tidak menyukai pemberian dan anugerah dari penciptannya?, biar buruk macam mana sekalipun, tetap anugerah Allah. Kadang-kadang kita selalu melupakan bahawa yang tidak kita sukai itu adalah baik di sisi Allah SWT.

Justeru itu, mengapa manusia suka meletakan diri mereka dalam keadaan kebingungan setiap hari, bukan kan Allah sudah berfirman bahawa kujadikan manusia itu HANYA untuk menyembahKu sahaja. Tidak ada yang lain selain daripada itu sahaja. Jadi kenapa harus pusing memikirkan masalah, yang perlu kita lakukan adalah FIKIR dan ZIKIR. Berfikir tentang kekuasaan dan kehebatan ciptaan Allah SWT dan berzikir memuji kebesaran dan kehebatan Allah SWT. Inilah jiwa-jiwa yang merdeka, yang dituntut untuk mentarbiyah kepada makhluk-makhluk lain tentang kebesaran dan kekuasaanNya. Seorang sahabat bertanya, kenapa kini hidupmu  menjadi lebih tenang dan damai sedangkan sebelum ini jiwa penuh dengan huru hara memikirkan keduniaan. Dengan nada perlahan aku membisikan bahawa hidup ini damai sahaja. Tidak perlu ada digusarkan walaupun sesaat, serahkan sahaja segalanya kepada Allah SWT. Segalanya akan selesai.

Quran surah Al Baqarah ayat 155-157 terjemahannya “ Dan sungguh akan kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan , kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar, (yaitu) orang-orang yang yang apabila ditimba musibah, mereka mengucapkan “Inna Lillahi wa innaa ilahi raaji’uun”. Mereka itulah yang mendapat keberkahan yang sempurna dan rahmat dari Rabb mereka dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.

Jelas kepada orang-orang yang bersabar dan bersyukur dengan ujian Allah SWT adalah orang-orang yang mencari keredhaan dan kesempurnaan dalam hidup. Istirja yang diucapkan dalam mentaliti melayu hanya untuk kematian semata-mata, walhal istirja inilah zikir yang baik untuk membersihkan jiwa, yang mengangkat dan mengagungkan sang pencipta selain kalimah toyibah yang dilafazkan dan ditasdiqkan dalam qalbu setiap hari. Hidup ini indah sebenarnya, kadang-kadang, aku pelik melihat manusia disekeliling yang wajahnya kusut ibarat tidak diseterika setiap pagi. Rasulallah SAW selalu menitipkan bahawa tenangkan hatimu setiap hari, jangan lupa solat sunat sebelum subuh, sunat Dhuha dan sedekahmu, Insyallah, jiwa mu akan tenteram walaupun sebesar tsunami ujian melanda. Ini kerana kita memahami bahawa semuanya adalah dari Allah SWT dan tidak ada kuasa yang mampu menandingi kekuasaanNya, hanya Dialah sahaja dan tiada kuasa selainNya. Cukup lafaz dalam diri kita setiap masa “Aqidah didahulukan, Syariat diutamakan”. Hidup jadi lebih mudah, malah lebih sukar menyebut ABC berbanding dengan amalan sabar dan syukur dalam diri kita. Tapi mana bisa semua orang boleh melakukannya, kalau hanya kepercayaan 90% dan keyakinan 10%. Hanya hambaNya yang meletakan kepercayaan dan keyakinan 1000% sahaja. Malah terdengar bisikan, aku bukan sang nabi untuk memenuhi tuntutan semua ini. Memang benar, tapi Nabi dan Rasul diutuskan sebagai contoh teladan dan mereka ini memudahkan bukan menyukarkan. Manusia ni macam-macam kalau memberikan alasan untuk berubah, tapi kalau mengarah kepada kejahatan dialah paling laju barangkali. Seorang sahabat secara sinis aku katakan bila lah mahu berubah, banyak ujian dan musibah Allah berikan sebagai lambang kasih sayangNya. Perlahan-lahan sahabat ini menjauhkan diri daripada ku. Aku ketawa yang manusia juga tidak boleh ditegur rupanya, aku peduli apa, kalau setakat manusia macam sahabat tadi tidak mahu memperdulikan aku, janji Allah kekal menyayangiku dan mengasihiku. Tiada daya dan upaya aku Ya Allah, semua ini kuasa Mu. Mudah-mudahan selepas ini, kalam ini bukan apa yang ku tahu tapi apa yang Kau mahukan Ya Rabb. Ampunkanlah hamba mu ini ya Allah

11:59

Ya Allah... bimbinglah dia

Basmallah...Dengan izinmu ya Rabb, hambamu yang daif ini mohon izin kalam ini berbicara.

Hari ini ibadah qurban ku laksanakan sebagai satu proses posisi mencapai tahap kenabian tentang kecintaan kepada kh aliqnya. tentang tawaduk hambaNya, tentang rasa syukur tentang redha dan rahmatNya, tentang ikhlas dan segala-galanya adalah milikNya. Tiada satu pun di dunia ini yang bukan milikNya malah setiap sehalus zarah itu kepunyaanNya. Hebatnya Raja pemilik cinta. Cinta yang dilahirkan dari qalbu, dizahir melalui perbuatan dan ungkapan malah kutitipkan rasa itu pada semua makhlukNya yang selayaknya menerima rahmat dan kasihNya. Allahu Akbar.
Subuh ini aku titipkan sebuah bicara ringkas pada seorang hambaNya yang ku kenal dengan sifat pengasih dan penyayangnya. Masyallah, sifat yang membenihkan rasa cinta dalam diri ini. Sifatnya yang meletakan keikhlasan dan mencari redha illahi dalam kontek muamalat sesama makhluknya. Sifat ini yang aku pertahankan atas bicara kasih sayang dan mencintainya kerana Allah SWT. Satu pengakuan bai'ah dengan penciptanya, sesungguhnya insan ini jika kau ditakdirkan menjadi sebahagian daripada tulang rusukku akan ku dakap mu dalam dakapan illahi, akan ku jaga sepertimana amanah illahi, akan ku tatang sepertimana kasih sayang Rasulallah SAW kepada isteri baginda. Akan ku santuni kao dengan sehaluk akhlakku,  Akan ku pimpin kao mencari  jannah al firdausi. Masyallah, aku membayangkan bahawa insan ini kelak yang sanggup bersengkang mata mendirikan qiamullail bersama ku mencari redha dan rahmat Illahi, mengenal penciptanya dan akhirnya dengan cinta ini akan ku temukan cintaku kepada Allah SWT. Aku sanggup dicampak ke ruang yang tiada bidadari, malah tiada sungai yang mengalir susu dan madu asalkan Allah mengizinkan aku memimpin insan ini untuk menatap semua zat-zatNya.
Namun hanya sebatas ilusi dan sebatas aqal, sesungguhnya ketetapan Allah lebih hebat dari ketetapan makhluk. Mana bisa seorang manusia mengatakan bahawa yang sedih akan menjadi bahagia, yang pahit akan menjadi manis... sedangkan untuk 5 saat di depan kita juga tidak mampu mengetahui apa yang akan berlaku. Tetapi, bagi manusia2 yang hebat dan sentiasa mendahulu ketetapan Allah SWT mungkin boleh mengetahui apa yang berlaku sesuai dengan perancangan mereka. Halusnya permainan Allah SWT dalam menguji hambaNya. Bagaimana kita faham konsep qadha dan qadhar, bagaimana kita faham dengan takdir dan yang ironinya bagaimana dengan tauhidnya. Munafiq kah, fasiq kah atau syirik kah...wajar kah makhluk ciptaanNya minta jangan dikaitkan dengan agama Allah. lagi besar dosanya mengenepikan hak Allah. Nanti ditanya siapa kao... lisan menjawab aku lah hambaMu, tapi akhlak dan adabmu mengalahkan kufara laknatullah. Ya Allah... ke mana hilangnya cinta yang Kau berikan padaNya. Selalu orang berkata, kao tidak akan jumpa yang baik sebelum kao jumpa yang jahat. Bagaimana pula nasib manusia, yang semakin jauh dari tuhanmu setelah kao menemui seseorang yang anggap wiramu. Aku sudah GILA barangkali...orang selalu kata jangan menghukum, sesungguhnya itu semua kerja Allah. Tapi bagaimana pula dengan makhluk yang sudah menghukum dirinya sebelum Allah menghukumnya. Jelas lagi bersuluh perubahan yang sungguh ketara dan binasa pada pandangan aql. Masyallah, ampunkan aku ya Allah, agar aku tidak mengambil kerja-kerjamu ya Allah.

Adakah aku sudah tidak mengenal saudara seimanku... atau inikah kebenaran yang Allah tunjukan mengapa aku semakin dijauhkan atas dasar cintaku padanya. perlukah menolak kebenaran meskipun ia meyakininya sebagai sesuatu yang benar, hal ini difirmankan Allah Swt di dalam Al-Qur’an: Dan mereka mengingkarinya karena kezaliman dan kesombongan (mereka), padahal hati mereka meyakini (kebenaran)nya. Maka perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang berbuat kebinasaan (QS 27:14). Subahanallah... Maha suci Allah yang menjadikan dan sentiasa memberikan ruang kepada hambaNya untuk kembali kepada fitrahnya yakni bertaubat kepada penciptanya. Mungkin aku salah interpretasi makna sebuah kesombongan atau aku buta menilai tentang erti sebuah harapan dan percintaan. Barangkali keyakinan aku longgar pada khaliqku... Yang aku pelajari sebatas aql ku tentang kebenaran bahawa Allah akan sentiasa membukakan kebenaran kepada sesuatu yang batil. Kebatilan tidak pernah mengatasi kebenaran. Aku yakin bahawa Allah akan sentiasa memberi hidayahNya tanpa perlu diminta. Sebab sifat dan zat Allah yang Al-Haq akan menitipkan segala kebenaran kepada hamba-hambaNya yang mengambil iktibar.

Mengapa insan yang ku kenal ini semakin jauh ya Allah... aku mengharapkan sebuah plot drama kehidupan yang telah Engkau rancangkan sebagai menaik untuknya, aku usahakan mentarbiyah dan mendidiknya melalui kefahamanku akan diriMu ya Allah. Aku barangkali gagal Ya Allah, ampunkan aku ya Allah. Aku mengharapkan agar akan lahir seorang puteri muslimah yang solehah yang sanggup berjuang di jalan Mu ya Allah dalam mencari redha dan baraqahMu sepertimana yang terlontar dalam lisan dan akadnya. Namun hanya air mataku berlinang mengenangkan apalah dosa seorang wanita yang ku anggap permaisuri melahirkan anak sepertinya. Aku semakin tidak mengenalinya... dia bukan lagi wanita idamanku malah seorang perempuan yang langsung tidak pernah ku kenal.. Bukan aku menidakkan atau menghina makhluk ciptaanMu ya Allah... cuma aku merasa agak janggal dan aneh. Bagaimana bisa seorang wanita yang Kau titipkan kepadaku suatu masa dahulu lebih senang memiliki emas palsu sedangkan Engkau telah memberikannya emas tulen. tidak kah dia mengambil iktibar dan bukankah sewajibnya menjadikan segalanya yang berlaku sebagai pedoman... Ya Allah, di subuh bening ini aku memohon kepadaMu ya Rabb... janganlah kau sesatkan anak ini dari landasan yang sebenarnya. Barangkali dia masih tidak mampu memahami betapa indahnya musibah dan fitnah yang Engkau berikan. Barangkali dia tidak memahami bahawa Engkau adalah jaminan dunia dan akhirat dan bukan pergantungan kepada makhluk. Doaku padanya ya Allah, mudah2an dia masih mengenal islam itu agamanya, Allah itu tuhannya yang Esa dan Muhammad itu utusan sunnah. Sehingga kalam ini terhenti, qalbu dan aql ku masih tidak bersatu. Mudah-mudahan dengan kasih sayang Mu ya Rabb, masih ada ruang untuknya kembali ke sisi mu dan selalu meletakan harapan kepadaMu. Selama aku hidup,  kasih sayang makhluk hanya sampai di tepi kubur sahaja tetapi kasih sayangMu ya Allah tiada batasannya. Mudah2an sifat bongkak, takbur dan sombong pada lisan dan perbuatannya sama ada dia sedar atau tidak ya Allah akan Engkau ampunkan ya Allah. Ampunkanlah dosaku, kaum keluargaku, saudara seimanku serta umat Muhammad lainnya. Biarlah aku kekal mencintaiMu ya Allah, sesungguhnya walaupun cintaku padaMu hanya sebesar malah lebih kecil dari hama tetapi aku mengetahui bahawa kasih sayangMu dan cintaMu seluas-luasnya tanpa batasan. Aku redha diperhinakan manusia daripada Engkau memalingkan wajahmu daripada memandangku.
Tiada daya dan upaya ku ya Allah melainkan hanya dengan izinMu...
 

04:33

Buat Sang Pencinta III

kerana cinta duri menjadi mawar
kerana cinta cuka kembali menjadi anggur segar
kerana cinta kesakitan menjadi penawar
kerana cinta kemalangan menjadi keuntungan
kerana cinta penjara di rasakan kedai mawar
kerana cinta timbunan debu menjadi taman
kerana cinta api berkobar menjadi cahaya menenangkan
kerana cinta syaitanberubah menjadi bidadari
kerana cinta batu keras menjadi lembut bak mentega
kerana cinta duka menjadi riang gembira
kerana cinta hantu menjadi malaikat
kerana cinta singa tidak lagi menakutkan umpama tikus
kerana cinta yang sakit menjadi sihat
kerana cinta amarah berumah menjadi ramah...                                                     JR


Subahanallah... telah habis kikis semua cintaku padaMu ya Rabb
Tiada daya dan upaya ku melainkan dengan kekuasaan dan kebesaranMu...

02:23

Seharusnya hidup ini bagaimana...

Basmallah.... Dengan NamaMu ya Rabb, pemunya qalbu dan jasad.

Kadang-kadang jika direnungkan sedalam-dalamnya tentang persoalan dan pengolahan hidup ini agak menyukarkan dan menyulitkan. Paradok kehidupan yang menjadi dilema dan polemik. Kadang-kadang bisa menjadi satu persidangan membuat keputusan dan memilih. Apa yang harus ku buat, ku pilih dan ku lakukan, malah persoalan berak sekalipun boleh menjadi persoalan. Di mana harus aku 'melabur', di tandas murahan atau tandas hotel lima bintang. Padahal outputnya tetap sama, malah tidak jauh beza baunya antara kedua-dua tandas tersebut. ini baru persoalan memilih, makan sebagai contohnya, di mana harus aku makan, apa harus dimakan dan siapa rakan akan menemani makan juga menadi persoalan hidup kita setiap hari. Padahal persoalan makan ni, kalau tidak mengikut sunnah yang betul, ibarat menempah katil 10 tahun akan datang... di wad dan katil berapa aku harus istirehat dan bahagian mana anggota di badan ini harus ku sedekahkan. Semuanya gara-gara dan angkara mulut dan perut. Semuanya anggota dan natijah yang berakhir huruf T, apa tidaknya Makan di muluT then masuk ke peruT akhirnya genduT, akhirnya dapat gouT, jalan terhenjuT-henjuT, terlantar menunggu MauT. Nah! inilah ilham Maha Berkuasa. Satu lagi penyakit yang dihujungnya T, sapa dapat penyakit ni memang sia-sia hidupnya iaitu gila duiT. hahahaha. Masyallah. Kalau ada lagi persoalan lebih besar, ke syurga atau neraka harus ku pilih... kalau diberikan syurga pulak, syurga mana harus ku tuju, tingkat berapa, apa fasiliti yang disediakan. Kalau diberikan Neraka, tak mahu pulak dah.... takut dan ngeri. iya ker? betulkah neraka itu menakutkan dan mengerikan... 

Kadang-Kadang persoalan memilih dan menetukan ini kita serahkan pada orang disekeling... walhal tidak pernah diminta pun. Mereka-mereka ini sanggup memberi perkhidmatan secara percuma. Akhirnya apa yang kita mahu buat semuanya serba salah. Buat ini salah, buat itu salah. akhirnya semuanya menjadi masalah. Pa yang kita rasa benar, itulah menjadi salah pada fikiran mereka. Apa yang salah pada pandangan kita, itulah benar pada takrifan mereka. Kita harus belajar menghormati keputusan majoriti kerana itu adalah keputusan arus perdana. Jadi keputusan kita yang menyongsang arus ini di anggap salah. Padahal kadang-kadang yang menyongsang ini adalah benar pada kemahuan Allah SWT, tetapi masih mahu juga kita menentang ketetapan Allah. Hidup menjadi huru hara sebenarnya jika manusia diberikan kuasa untuk menentukan kemahuan, kehendak dan nafsu mereka. Bayangkan kehendak seorang penoreh getah yang berkehendakan panas sampai ke petang, dengan harapan getah yang ditoreh dapat mengeluarkan susu dengan banyaknya dan rezekinya pun bertambah pada hari itu. Manakal seorang petani pula mahukan hujan sampai ke petang dan mampu mengisi pengairan sawah mereka dan dapat menumbuhkan biji benih yang di semai. Masyallah, jika ini yang berlaku setiap hari, apa akan jadi dengan dunia ini. Hari-hari, dunia ini huru hara jadinya. Semua ahli klimatologi bingung memastikan jenis iklim dan perubahan cuaca dunia yang berlaku. Ini baru satu perkara dalam menentukan cuaca. Ada berjuta lagi kemahuan dan kehendak manusia setiap hari. Mari kita merenung sejenak kehebatan dan kekuasaan Allah SWT dalam mengatur kehidupan makhlukNya. Hebat kan, tidak ada satu pun yang tertinggal dalam konteks pemantauanNya. Semuanya di atur dengan baik dan syumul sifatnya. Yang miskin dapat rezekinya dengan sedekah daripada yang kaya melalui anugerahNya. Yang buta dapat berjalan dengan pimpinan si celik melalui anugerahNya. Si pekak dapat mendengar melalui jurubahasa yang normal melalui anugerahNya. Yang sakit dapat diubati oleh si doktor atau si tabib melaui ilmu anugerahNya. Semuanya dengan anugerahNya. Tidak ada sesuatu pun yang tertinggal. Semuanya akan balik kepadaNya. 

Jadi kenapa kita harus sibuk menentukan dan mengambil kerja-kerja Allah yang memang menyulitkan bagi manusia. Sibuk mengatur dan menentapkan tentang si polan itulah, sipolan inilah. Masing-masing sudah Allah SWT tetapkan dengan skripnya sendiri. Tidak ada yang terkeluar satu pun pelakon-pelakon itu. Semuanya sibuk mengambil peranan dan tugas masing-masing. Ada seorang mualim bertanya kepada aku. Apa sebenarnya yang kita mahukan dalam dunia ini sebenarnya. Aku jawab ringkas jak. " apa yang Tuhanmu mahukan, bukan apa yang kau mahukan". Itu sahaja pun, tidak lebih atau kurang daripada itu. Namun sebagai hamba ini kita GAGAL melaksanakan peranan mengikut sebuah skrip yang telah ditetapkan. Bayangkan kita menonton sinetron yang diolah plot ceritanya yg cukup menarik, tiba-tiba ada slot skrip lain termasuk dalam sinetron itu. kan sudah menjadi pincang plot ceritanya kan. huhu. Inilah masalah manusia, lain peranan yang dibagi, lain juga dialog yang diucapkan. Ada perkara yang bukan ditentukan untuknya pun dia sibuk mengatur dan mengurus. Sedangkan Allah SWT telah memberikan peranan masing-masing. Ramai orang bercita-cita menjadi guru, namun akhirnya jadi cikgu sahaja. sebab apa, tidak memahami apa yang tersirat daripada yang tersurat. Kenapa perlunya aku menjadi seorang cikgu bukan seorang guru. hahaha. fikirkan ya. Sama juga dengan skrip orang-orang atasan. Apa kao ingat kao layak duduk memegang kuasa sebab kao pengarah atau ketua jabatan. Ptuiiiii.... semua ni hamba suruhan Allah yang diamanahkan untuk berbakti kepada hambaNya yang lain. Bukannya membuli atau practise of power kepada orang bawahan. Tapi keadaan sebaliknya berlaku, sebab apa... sebab orang bawahan sendiri yang membenarkan pendewaan berlaku. Walhal yang sebenar-benarnya hebat dan perlu diagungkan adalah Allah SWT sebenarnya bukannya makhluk. Banyak sebenarnya contoh kepincangan manusia kalau nak dibuka hijabnya. cuma, tidak boleh kah kita menjalani kehidupan mengikut skrip yang sudah Allah tetapkan. Tidak payah lah sibuk dengan ketamakan harta dan kasih sayang makhluk yang lain. Cukup dengan apa yang  telah  Allah berikan kepada kita setiap hari. Allah Maha mengetahui sukatan untuk rezeki kita sebenarnya setiap hari dan apa yang kita perlukan. Tak payah kita sibuk menentukan siapa jodoh kita, berapa banyak rezeki yang aku perlukan atau apa-apa pun kan. Tapi bila difikir olah aql yang terbatas ni... kalau tak diusahakan mana nak dapat semua tu kan. Serba salah pulak jadinya. itu salah... ini pun salah. Jadi harus bagaimana ya melayari bahtera dan kembara kehidupan ini. Masyallah... ampunkan bicara kalam ku ya Allah... tiada daya dan upaya ku selain semuanya milikMu ya Rabb... 

tetiba aku teringat Tuhanku.... ada hakNya yang belum disempurnakan.  




02:16

Rerama dan Cinta : buat sang pencinta II


Manusia dalam dunia ini mentafsir cinta
ibarat tiga ekor rama-rama
yang mengelilingi api lilin.

Rama-rama pertama menghampirinya
 lalu berkata;
"aku tahu apa itu cinta."
Rama-rama kedua menyentuhnya sedikit dengan sayapnya
 kemudian berkata;
 "aku mengetahui betapa api cinta membakar.”
Rama-rama terakhir mencampakkan dirinya
 ke teras api
lalu terbakar.
Dia saja yang mengerti cinta sejati.

(Farid Ad-Din 'Attar)

Adakah cintamu sejati sehingga kau sanggup membakar dirimu atau hanya dirimu setakat tahu engkau hanya mencintai dan dicintai...  Tiada Daya dan Upaya ku, Hanya padamu ku serahkan segalanya Ya Rabb....

10:17

Wah...akulah transformer

Dengan Segala kebesaranMu ya Allah...sebulan rasanya blog ni tak diupdate. banyak ilham, iktibar dan ilmu yang Allah berikan sebagai rezeki kepada hambanya yang hina ini. Cuma lisan sahaja yang gatal dan tak kenal diuntung... "mau lah ditampar mulut ku sendiri". Ikut sedap lisan sahaja, walhal punca dosa yang tak terkawal adalah lisan. Semua keluar tanpa sedar, padahal sudah ditegah dan cuba di kawal. Benarlah, kadang-kadang betapa halusnya syaitan menipu kita. Walhal, syaitan bukan pintar mana pun. namun kekal juga manusia kalah dalam permainan dan tipu dayanya.
Allahu Akbar, sesungguhnya Allah Maha Besar dan tiada keagungan selain engkau ya Allah. tergerak kalam ini berbicara tentang transformasi dan perubahan. Kadang-kadang terfikir, susah sangat kah kita menerima perubahan orang lain ke arah kebaikan. selalu menjadi bicara, si polan sudah berubah lah... si polan tidak sudah bercerita tentang dunia... di mulutnya hebat berkata-kata tentang akhirat. Wah! jujurnya, itu pujian atau kebodohan manusia yang tidak mengenal diri dan penciptanya. Yang memuji tidak pulak kurangnya, wah! hebat bahasa lontaran lisannya, dari pengajian mana pulak manusia yang bertazkirah ni. Mesti Madinah atau Mekah pengajian agamanya.  Aku tergelak melihat kebodohsombongan manusia yang ada disekeliling. Riak, ujub, sombong dan angkuh mengaratkan hati yang sedia berkarat kesan dek pujian dan penghormatan manusia di sekeliling. Tak masuk dek aql dan qalb aku plak pujian dan penghormatan manusia ini. makin aku menjauhi diri dari mereka. 
Aku berkongsi rasa dengan sahabat dan saudaraku... dalam ketawa dan bercampur nada sinikal, sahabat bertanya " Apa kao rasa". Aku kata, mengerikan sungguh manusia sekeliling ku. Bila masa aku bercakap tentang akhirat. Nda pernah aku rasa, lisan ku bercakap tentang syurga dan neraka. Bukan sebab tidak tahu tapi takut bercakap sesuatu yang tidak dapat kuperjelaskan. Bila masa aku pernah menjejaki ke akhirat, melihat syurga dan neraka. Adakah flight ke akhirat yang dikonsesikan oleh MAS atau Airasia. teringin juga nak menempah, walaupun tiket penerbangan mencecah jutaan ringgit. Aku sanggup bergolok bergadai jika ada penerbangan ke sana.  Bayangkan kita bercakap sesuatu yang tidak pernah kita alami... walaupun termaktub di dalam kitab bahawa inilah bayangan yang ada dalam syurga dan neraka, tapi siapa kita cuba memperjelaskan sesuatu yang tidak pernah kau jejaki dan alami. Ilmu itu hanya sebatas lisan sahaja, dan aql yang sedia ada bukan boleh membayangkan atau memperjelaskan kuasa Allah SWT.secara total . Jauh daripada itu, kita sebenarnya sedang diuji oleh Allah SWT tentang konsep kewujudan dan kehambaan dalam perjalanan hidup ini. itu sahaja. 
Bukan menjadi dosa sebenarnya, kita bercakap tentang membawa jiwa-jiwa manusia yang sedang lemas dan tidur sepertimana tidurnya ulama-ulama kini atau dustanya ahli-ahli agama yang dulunya adalah agamawan tapi kini lebih ramai yang menjadi agama'wang'. Jelas sejelas-jelasnya, memperkatakan sesuatu yang baik sifatnya tentang kasih sayang Allah, kebaikan, pemurah, penyanyang dan pengasih Allah SWT kepada orang lain adalah sesuatu yang dituntut dalam agama. Kita tidak perlu menciptakan pengikut  tetapi cukuplah kita mengingatkan jiwa-jiwa yang lain supaya sentiasa tenang mengingati Allah SWT. Bayangkan satu dunia dalam keadaan berkasih-kasihan, tanpa prajudis dan prasangka. dan semuanya bertasbih tentang mengagungkan dan mengesakan Allah SWT. Masyallah... hebat sebenarnya, Jadi tidak perlu ada sindiran dan senyum sinis mengatakan bahawa sudah berubah si polan itu dan ini. Yang perlu jadi iktibar ialah, "adakah aku masih kekal dalam syirik dan jahil ku tentang siapa penciptaku dan sebab aku diwujudkan". Tidak kah ada rasa malu dalam diri bahawa orang lain berubah mencari kebaikan  dan aku masih kekal lagi dalam kepompong lama ku, umur makin berkurang, iman makin menipis, dosa semakin menebal. Orang lain sudah menjadi rama-rama yang cantik, terbang bebas dan merdeka menikmati keindahan dan keagungan ciptaan Allah. Aku masih kekal lagi dalam penjara kesombongan aku. Subahanallah.
Nah, inilah sebenarnya syirik manusia kata sahabat. masih sombong dengan janji-janji Allah dan masih memperakukan kehebatan diri sedangkan yang Maha Hebat adalah Allah SWT. hanya Dia, Dia dan Dia lah segala-galanya. Jadi, bila diajak mengarah kebaikan malah kita pula yang menjadi bahan tawa dan sindiran, Bagi aku mudah, kataku dengan sahabat. Memang tak masuk dalam qalb dan aql aku tentang pujian dan kutukan manusia ni. setakat penghargaan manusia ini, hahaha. memang aku dah talak tiga pun, yang aku perlu. Adakah Allah SWT masih memandang aku... mengingatiku, mengasihi dan menyayangiku dan mengampunkan ku. Kerisauan aku hanya ini. Jika Allah menutup pandanganNya padaku, di mana harus aku berada lagi. tiada sudut didunia ini aku diredhai dan aku tiada tempat disisiNya. Takat aku tidak dihargai kerana jasa-jasaku dan kebaikanku, tidak aku akan mati, malah sukanya kalau boleh aku dilupakan oleh sebab kebaikan aku itu. Aku tidak mahu terikat dengan manusia-manusia yang memandang kebaikan aku semata-mata. Sebab itu semuanya dusta dan pembohongan semata-mata. 
Ya Allah.. Tiada Daya dan Upaya aku. Ampunkan lah dosaku dan dosa kaum keluargaku, saudara2ku dan kaum golongan mukmin.

12:47

Taubat: Alamak Lupa Lah Pulak...

Dengan izinNya mohon kalam tinta ini berbicara... sebab semua yang ku miliki adalah Miliknya, aku hanya jasad dan ruh yang meminjam, sampai masa bila perlu, akan aku dipulangkan semula, mudah2an aku bisa mengembalikan dalam keadaan yang sempurna dan baik sifatnya. Insyallah. Agak pelik kan tajuk ni kan... siapa sanggup mengambil kerja-kerja Allah, yang tidak pernah mengantuk dan tidur dan sentiasa menjaga makhlukNya sepanjang masa tanpa terbabas sedikitpun...
Insan, manusia, atau apa pun pengkelasan yang diberikan sama saja sifatnya, pelupa. Lupa bahawa kita ini adalah jasad dan roh yang dipinjamkan atas muka bumi ini. Dari sejarah Nabi Adam lagi Allah selalu melarang dan menegah yang berkaitan dengan kerosakan dan kemungkaran, tetapi itulah yang paling seronok dilakukan. Mengapa ya, manusia selalu lupa, padahal 25 manusia diangkat menjadi Rasul sebagai penyuluh dan pembimbing namun masih juga manusia lupa. Pelbagai pengajaran dan iktibar Allah SWT turunkan dan berikan agar manusia sentiasa ingat dan bertaqwa padaNya. Namun jawapannya masih juga lupa. Jika dapat dikongsikan sesungguhnya sebelum kejadian zahir manusia ke dunia, telah terikat akujanji antara manusia dengan Allah akan hakikat ketuhanan. Sesungguhnya Engkau adalah Tuhan dan tidak ada Tuhan selain Engkau ya Allah, dilafazkan sehingga kelahiran digenggam perjanjian tersebut dalam genggam yang erat ( perhatikan tangan bayi, akan kekal menggengam sehingga selepas 6 bulan barulah terlepas genggaman tersebut, Masyallah). Malah dalam rahim sekalipun, genggaman ini erat sehingga kelahirannya. bayi ini membesar dalam keadaan amnesia dan akujanji itu semakin kabur dan terus kabur. Iyakah, aku pernah berakujanji, bilakah dan dimanakah peristiwa itu. Inilah keadaan manusia yang suka melupakan janji... apalah sangat janji kita dengan manusia, janji dengan Allah SWT kita boleh lupakan. Sebab tu ramai manusia menjadi munafiq, fasiq dan kufur dalam sedar tak sedar. Kenapa sedemikian, manusia awam ni nak difahami mudah saja, setiap tindakan yang memberikan keuntungan kepada mereka pasti akan mudah melupai janji. Sebab tu lah, Allah berfirman, jangan lah kamu meminta selain daripada Aku, sebab Allah yang maha mengetahui akan sifat manusia yang pelupa ini. Kalau meminta dengan manusia, kita jadi manusia yang berharap dengan makhluk, makhluk yang diharap ini pun memang tak boleh diharap. kata orang negori, "buek mengabih boreh jo"...
Hari ini Allah SWT bagi satu lagi pengajaran yang cukup istimewa... langsung tanpa cut. Seorang anak kecil anak seorang sahabat yang bertandang ke rumah bertanya dengan aku. "bila pacik nak bertaubat ni"... gelak sakan aku dengan pertanyaan tu. walhal dalam qalbu... Masyallah, sesungguhnya Maha suci Engkau ya Allah yang mengingatkan aku tentang taubat daripada seorang anak kecil. Mana tidaknya, anak yang masih bersih dari sifat-sifat munafiq dan fasiq bertanya langsung kepada kita soalan yang sepatutnya ditanya oleh alim-alim ulama, ahli-ahli fuqaha tetapi jarang pula aku dengar daripada golongan ini soalan-soalan berkenaan. Barangkali golongan alim-alim ni jarang bercampur dengan golongan marhaein macam aku ni, atau golongan ini selesa dengan kelompok mereka-mereka sahaja, ataupun sudah habis lidah daqwah golongan ini untuk orang macam aku yang berhimpun segala dosa, entah dapat dibersihkan atau pun tidak, wallahhualam, hanyalah Allah sahaja yang dapat memberi keampunan atas dosa-dosaku.
Berbalik kepada persoalan manusia pelupa, adakah persoalan taubat juga selalu dilupakan. berapa kali dalam sehari kita istighfar memohon keampunan kepada Allah. Rasulallah SAW yang ulul azmi dan maksum juga tidak pernah melupakan istighfarnya. Yang dijamin oleh Allah sebagai manusia pertama melangkah ke syurga juga tidak pernah putus-putus memohon taubat dan keampunan kepada Allah SWT. Malah disekeliling kita hari ini, semakin rancak musuh-musuh Islam mengajak kita melupakan istighfar dan digantikan dengan pesona lagu-lagu syaitan dan hiburan yang melalaikan. Bahkan dalam kita berhari raya ni pun, kita sudah melupakan segala amal dan ibadah ramadhan kita. Siapa lagi yang mengunjungi masjid setiap malam untuk jemaah... kompom hanya 1% sahaja barangkali yang masih ke surau atau ke masjid, itupun jawatankuasa masjid barangkali. Jika tak ke masjid atau surau, nanti apa pulak orang lain kata kan. Nama pun jawatankuasa masjid, kenalah ke masjid kan. Kalau bukan ahli, mungkin pandang saja lah bah kan tempat terawih dan tadarus ramadhan tu kan, al maklumlah balik kepada fitrah, jadi manusia pelupa semula... syaitan pun sudah lepas, jadi aktiflah semula rayuan-rayuan keasyikan ke arah kelalaian tu kan. Samalah macam aku ni... nasib baik juga ada anak kecil mengingatkan aku suruh bertaubat.
Dimana sudah amal jariah dan sedekah yang sewaktu ramadhan pada anak-anak yatim, ibu tunggal dan sebagainya yang layak menerima. Habis sudah tau bajet sedekah, pasal banyak sangat aku abis beraya sakan,mengganti sana sini dengan barang-barang baru, buat rumah terbuka, sekali buka kopak aku dalam 3-4 ratus kan. (kalau RM300 X 10 kali open house = RM3000, sedekah dengan golongan yang memerlukan lagi faedah. tetamu yang hadir pun bukan calang-calang orang, semuanya yang tidak boleh menjamah hidangan sedap-sedap sudah pasal banyak penyakit. Bagus sebenarnya  mengeratkan sialturahim ni, tapi berpada-padalah bah kan, saja ja tulis macam ni, ajak berfikir sekali)  Nah, itulah kita, orang beraya sehari sahaja cukup, tetapi kita sampai sebulan. sepatutnya sambung semula amal ibadah yang dibuat sepanjang ramadhan sehingga ramadhan tahun depan. Ini tidak, segala-galanya sudah dilupakan. Apa yang penting, sepanjang syawal ni, penghargaan daripada manusia itu penting, tetamu yang datang mesti tengok renovation rumah ala-ala english aku, interior yang mengalahkan mat salleh walaupun tinggal di Malaysia. Tetapi renovation qalbu langsung diabaikan, macammana lah Allah SWT nak bagi penghargaan. Rupanya kita ni tidak faham hakikat kehidupan sebenar kan, masih lagi menilai bentuk dan rupa sedangkan Allah SWT sudah mengajarkan jangan memandang bentuk dan rupa. apa yang penting keredhaan Allah dalam kehidupan kita itu yang lebih utama. Bukannya besok, bila kita mati, kain kapan corak english berbunga-bunga yang dibawa... cuma kain harga RM3.20 semeter juga yang dibungkuskan dan bukannya keranda yang dicat putih yang dijadikan penutup, cuma kepingan-kepingan kayu yang belum diketam halus sahaja yang menjadi dindingnya sahaja.
So' apa kata kita sahut cabaran anak kecil yang mengajak orang-orang tua bertaubat. Jangan risau, taubat tiada pintunya, Allah sentiasa menerima taubat hambaNya dalam keadaan macammana sekalipun, yang penting sedia berubah mengarah kehidupan muslim yang lebih bertauhid, bertaqwa dan taat kepada khaliqnya. Jangan percaya dengan kata-kata sesiapa pun bahawa pintu taubat akan ditutup, sampai sekarang pun belum pernah ada sesiapa pun jumpa pintu taubat.  Dan ingatlah bahawa Allah SWT setiap saat memberikan hidayahNya pada hambaNya cuma sebijak kita sahaja sanggup mengambil iktibar dan sesiapa yang memberikan iktibar tidak penting, yang penting apa yang dilontarkan itu memberikan peringatan kepada kita yang sering lupa dan lalai sebagai 'peminjam' dan "tidakKu jadikan jin dan manusia selain berdiri dedepanKu"...
Sesungguhnya tiada daya dan upaya ku Ya Allah, sesungguhnya engkau yang maha berkuasa atas setiap satu-satunya... Ya Allah ampunkan dosa ku, dosa ahli keluargaku dan dosa kaum muslimin dan muslimat. Ampunkan lah atas kelalain dan kealpaan kami sebagai manusia, sesungguhnya engkau sentiasa memberikan peringatan akan hari qiamat. Amin